Monday, August 24, 2009

ISTIMEWANYA RAMADHAN

Ramadhan tiba lagi dengan penuh tawaran istimewa. Ramadhan bulan untuk mentarbiyah diri, melatih diri, memuhasabah terhadap kesilapan lalu untuk mara ke hadapan dengan kekuatan baru. Berikut adalah sebahagian daripada panduan yang disebut dalam AL-Quran dan Hadis sempena dengan tibanya Ramadhan.


Ibadah Puasa

Ramadhan adalah bulan melaksanakan kewajipan berpuasa. Janji untuk mereka yang berpuasa amatlah tinggi sebagaimana disebut dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Setiap amalan anak Adam akan diberi ganjaran dari sepuluh hinggalah tujuh ratus kali ganda” Firman ALLAH ‘Azza wa jalla’; “ Kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untukKu. Maka Akulah yang akan melimpahkan ganjarannya, dia rela meninggalkan keingginan syahwatnya dan makan minumnya semata-mata keranaKu. Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan: Kegembiraan di kala berbuka dan berhari raya serta kegembiraan di kala bertemu dengan Tuhannya. Bau mulut orang berpuasa itu adalah lebih harum di sisi ALLAH daripada keharuman bau kasturi.”

(Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Tentunya sekali pahala yang melimpah ruah ini tidaklah diperolehi hanya dengan menahan diri dengan berlapar dan dahaga sahaja, sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Rasullullah SAW maksudnya :

“Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta tetapi masih sahaja berbohong, maka ALLAH sama sekali tidak berhajat kepada puasanya, walaupun ia sama-sama berlapar dan dahaga.”

(Hadith riwayat Bukhari)

Rasullullah SAW telah bersabda maksudnya :

“Puasa itu adalah perisai. Sekiranya seseorang itu berpuasa, maka janganlah ia bercakap lucah, berbuat kefasikan dan kejahilan. Jika seseorang mencacinya, maka hendaklah ia menjawab : Aku sedang berpuasa.”

( Hadith riwayat Bukhari dan Muslim )

Oleh itu semasa kita berpuasa, hendaklah kita berpuasa juga pendengaran, penglihatan dan tutur kata. Janganlah sia-siakan pahala puasa kita.

Qiamulail / Solat sunat Ramadhan / Terawih.

Ramadhan juga adalah bulan qiyam. Di samping amalan wajib, bulan Ramadhan adalah bulan untuk melatih kita untuk menambahkan amalan sunat. Rasullulah SAW telah bersabda maksudnya :

“ Barangsiapa yang mendirikan solat malam bulan ramadhan dengan penuh keimanan dan kesedaran, diampunkan baginya dosanya yang telah lalu.”

( Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim )

Kata-kata terawih itu diambil dari “ Muraawahah” atau berasal “ Raahatun” ertinya menghilangkan lelah, berlapang-lapag atau beristirehat. Pendek kata qiamulail yang telah dikerjakan Rasullulah SAW itu, baik pada bulan Ramadhan mahupun pada malam-malam lainnya tetap dikerjakan dengan cara bertenang-tenang dan tidak terburu-buru.

Kita mesti menjaga adab-adab solat seperti to’maninah, bacaan yang teratur terutama sekali surah Al-Fatihah dan rukun-rukun solat yang lain.


Bersedekah.

Ramadhan juga melatih diri untuk bersedeqah. Rasullulah SAW merupakan seorang yang paling pemurah. Baginda menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan. Rasullulah SAW telah bersabda :

Maksudnya:
“ Sebaik-baik sedekah ialah pada bulan Ramadhan.”

( Hadith Tirmidzi dari Anas )

Bersedekah pada bulan Ramadhan itu mempunyai kelebihan dan keistimewaannya. Maka bersegeralah menunaikannya menurut kadar yang terupaya.

Rasullulah SAW juga bersabda yang bermaksud:

“ Barangsiapa yang menjamu orang yang berbuka, maka pahalanya sama seperti pahala orang yang berpuasa.”

( Hadith riwayat Ahmad dan Nasa’e)





Membaca Al-Quran ( Tilawah )

Bulan Ramadhan adalah bulan di mana turunnya Al-Quran. Di luar bulan Ramadhan ganjaran membaca Al-Quran ialah sepuluh pahala untuk satu huruf bukan satu ayat. Pada bulan Ramadhan, Allah SWT melipat gandakan ganjaran tersebut iaitu 70 kali ganda. Oleh itu, marilah kita cuba mengkhatamkannya sekurang-kurangnya sekali pada bulan Ramadhan ini.

Iktikaf

Bulan Ramadhan adalah bulan Iktikaf. Latihlah diri untuk beriktikaf di masjid. Dalam sepotong hadith riwayat Al-Bukhari, kita mendapati bahawa :

“Adalah Rasulullah SAW itu beri’tikaf selama sepuluh hari di dalam bulan Ramadhan. Manakala dalan tahun ini di mana baginda wafat, baginda beriktikaf selama dua puluh hari.”

Ikttikaf merupakan ibadat yang mencakupi kebanyakan amalan taat seperti solat, tilawah, berzikir, berdoa dan lain-lain. Iktikaf itu adalah sangat dituntut pada sepuluh hari yang terakhir.




Mengerjakan Umrah Pada Bulan Ramadhan

Mengerjakan umrah di bulan Ramadhan besar pahalanya. Menurut sebuah hadith sahih. Rasullullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“ Pahala mengerjakan umrah di bulan puasa itu menyamai pahala satu kali haji.”

( Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)


Mencari Malam Lailatulqadr.

Bulan Ramadhan adalah istimewa dengan lailatul qadar. Rasulullah SAW mencari-cari malan Lailatul Qadr dan menyuruh para sahabatnya mencari-cari malam tersebut. Baginda mengejutkan keluarganya supaya sama-sama beribadat pada sepuluh malam yang terakhir dari bulan Ramadhan dengan harapan supaya dapat memperolehi Malam Lailatul Qadr yang penuh dengan keberkatan dan keistimewaannya itu.


Firman ALLH swt: yang bermaksud:

“ Sesungguhnya kami menurunkan ( Al-Quran ) pada malam Lailatul Qadr. Dan tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadr lebih baik daripada seribu bulan.”

( Al-Quran, surah Al-Qadr:1-3 )



Mengikut pandangan muktabar, malam Lailatul Qadr itu adalah sepuluh malam yang terakhir dari bulan Ramadhan iaitu pada malam yang kedua puluh tujuh, berdasarkan sebuah hadith yang di riwayatkan oleh Ubai bin Ka’ab ( r.a ), maksudnya :

“ Demi ALLAH, sesungguhnya aku tahu di malam bilakah Lailatul Qadr itu. Ianya adalah malam di mana kami telah diperintahkan oleh Rasulullah SAW melakukan qiamullail, iaitu pada malam yang kedua puluh tujuh.”

Sebuah hadith sahih dari Aisyah ( r.a ) menceritakan :

“ Ya Rasulullah, jika aku bertemu malam Lailatul Qadr, apakah yang patut aku katakan?”

Jawab Rasulullah SAW yang bermaksud :

“ Ya ALLAH ! Sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, sukakan kemaafan , maka maafkanlah segala kesalahanku.”



Memperbanyakkan Zikir, Doa Dan Istighfar

Peluang untuk beribadah tidak harus dipersia-siakan. Banyakkan berzikir, berdoa, khususnya pada waktu-waktu yang mustajab. Satu daripadanya adalah waktu berbuka di mana doa orang yang berpuasa ketika berbuka tidak ditolak ALLAH SWT.


Prihatin Kepada Amalan-amalan Khusus.

Amalan-amalan khusus di dalam puasa harian kita yang patut diambil berat juga ialah waktu berbuka dan bersahur.

Waktu berbuka :
Sunnah Rasulullah SAW telah mengawalkan waktu berbuka puasa dan memakan rutob/buah kurma. Baginda juga berdoa kerana doa orang yang berbuka puasa tidak ditolak oleh ALLAH SWT seperti yang telah disebut sebelum ini. Doa Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Telah hilang kehausan, telah basah segala urat dan mudah-mudahan pula telah tetap pahala.”

Waktu sahur:

Sahur pada pagi hari adalah satu amalan puasa yang sangat penting kerana mengikut Sunnah. Sabda Rasulullah SAW maksudnya :

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas orang-orang yang makan sahur .”

Sangat digalakkan kita berjaga dengan beribadat di antara sahur dengan terbit fajar agar dapat mengerjakan solat subuh pada awal waktunya.


Zakat

Sungguh banyak ayat-ayat Al-Quran yang memperkatakan kewajipan mengeluarkan zakat. Malahan arahan tersebut sentiasa seiring dengan arahan mendirikan solat.

Antaranya Ayat 1,2 dan 3 Surah An-Naml. Ertinya :

“Thaa Seen (ALLAH SWT yang mengetahui maksudnya)! Inilah beberapa ayat Al-Quran dan kitab yang terang. Untuk menjadi petunjuk dan memberi khabar gembira bagi orang-orang yang beriman. Iaitu yang mendirikan solat dan membayar zakat.”

Antara jenis-jenis zakat ialah zakat fitrah,zakat pendapatan, zakat wang simpanan, zakat saham, zakat emas dan zakat perniagaan.

ALLAH SWT telah mewajibkan bayaran zakat untuk menyucikan segala harta-harta kita sepertimana yang dijelaskan dalam Ayat 103 Surah At-Taubah Ertinya:

“ Ambillah dari harta itu sedekah ( zakat) yang dengan itu engkau bersihkan dan sucikan mereka “.

Urusan-urusan pungutan zakat di Malaysia telah banyak dipermudahkan. Membayar zakat pada bula Ramadhan sungguh besar ganjarannya. Oleh itu, rebutlah peluang keemasan ini. Bersegeralah membuat amalan yang baik sangat-sangat diredahai ALLAH SWT.




Zakat Fitrah.

Jangan kita lewatkan bayaran zakat fitrah sehingga selesai solat Aidilfitri kerana Rasulullah SAW telah memberi peringatan melalui hadithnya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“….dan barangsiapa memberikan sesudah solat Aidilfitri, maka itu menjadi sedekah biasa ( bukan zakat fitrah).


Mengeratkan Silaturrahim

Ramadhan juga melatih kita untuk mengukuhkan hubungan persaudaraan dan perpaduan. Arahan mengeratkan Silaturrahim jelah dinyatakan di dalam surah An-Nisa’ Ayat 1 maksudnya:

“ Hai sekelian manusia, bertaqwalah kepada Tuhanmu yang telah mencipta kamu dari yang satu dan daripadanya ALLAH menciptakan isterinya, dan daripada keduanya ALLAH memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertaqwalah kepada ALLAH dengan namaNya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya ALLAH selalu menjaga dan mengawasi kamu.”


Ayat di atas disokong kuat oleh sebuah hadith Qudsi sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“ALLAH telah berfirman : Aku adalah Ar-Rahman. Aku mencipta rahim dan aku telah pecahkan baginya ( rahim ) Nama dari NamaKu; oleh sebab itu siapa yang menghubungkan nescaya aku akan hubungan dia, barangsiapa yang memutuskannya nescaya Aku akan memutuskannya.”

( Hadith riwayat Abu Daud dan Tirmizi )

Berdasarkan hadth, lebih-lebih lagi pada hari baik bulan baik ini ( Ramadhan ) eloklah kita pertingkatkan hubungan silaturrahim di kalangan keluarga terdekat kerana definisi silaturrahim adalah jalinan di antara kaum kerabat yang ada pertalian darah sesama mereka termasuk juga ibu dan bapa mertua kita.

Berdasarkan hadith tersebut, adalah sesuatu yang malag jika kita memutuskan silaturrahim kerana selain satu doasa ia akan menjadi halangan untuk mendapat Rahmat ALLAH dan segala amalan-amalan kita tidak akan diangkat ke langit.

Sebaliknya ganjaran bagi orang-orang yang menhubungkan dan mengeratkan silaturrahim sungguh banyak. Antara lain ALLAH SWT akan menambahkan rezeki dan memanjangkan umur kita, menghindarkan mati dengan cara tiba-tiba atau mengejut, menyucikan hati dan membrsihkan jiwa. Ianya juga adalah satu jalan ke syurga dan satu cara menghapuskan dosa-doasa.

Akhir kata marilah kita juga bertekad untuk mempertingkatkan amalan-amalan utama harian iaitu solah fardhu yang lima. Ini kerana amalan puasa sahaja tanpa solat harian adalah tidak selari dengan ciri-ciri atau sifat seorang muslim sejati yang menyahut seruan ilahi. Malah amalan puasa akan menjadi tempang dan cacat.

Penutup

Ingatlah bahawa amalan-amalan Sunnah yang dipraktikkan pada bulan Ramadhan itu tidak harus berakhir bila tibanya Aidilfitri. Sebaliknya segala ibadat-ibadat tersebut adalah latihan untuk kita terus beristiqamah mengerjakannya pada setiap hari iaitu solat fardhu berjemaah, solat-solat sunah mu’akad, bersedekah, tilawah Al-Quran, berzikir, berdoa, beristighfar pada bulan-bulan seterusnya sehinggalah kita bertemu kembali dengan Ramadhan tahun depan dengan azam menjadi hamba yang bertaqwa. Sesungguhnya nyata bahawa Ramadhan adalah bulan mujahadah menentang hawa nafsu, bulan tarbiyah mendidik diri dan bulan muhasabah untuk mengkoreksi kelemahan diri. Maka beruntunglah mereka yang menggunakan peluang di kesempatan Ramadhan pada kali ini. Rugilah mereka yang membiarkan diri hanyut dengan nafsu, malas bermujahadah dan beramal ibadah melatih diri sendiri.