Sunday, August 23, 2009

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK 1430H

Kepada;

Tan Sri / Dato’/ Datin/ Tuan/Puan
Para Jemaah yang budiman,



Didoakan semoga Tan Sri / Dato’/ Datin/ Tuan/Puan sentiasa di dalam lindungan dan peliharaan Allah sentiasa.

2. Alhamdulillah kita diketemukan di dalam bulan Ramadhan yang penuh mulia dan berkah. Bulan ini adalah bulan mujahadah, bulan tarbiyah dan muhasabah. Mujahadah bagi mereka yang ingin mencari keredhaan Ilahi buat bekalan di akhirat sana, tarbiyah bagi mereka yang ingin mendidik dan membangun potensi diri, muhasabah bagi mereka yang ingin mencari kejayaan hakiki.

3. Di bulan Ramadhan ini laksanakanlah ibadah puasa dengan penuh keimanan, kesungguhan dan keikhlasan. Hadirlah berterawih dengan penuh ketulusan mencari keredhaanNya. Berqiyamullaillah sambil beriktikaf; memuja dan memuji kebesaranNya. Bermuhasabahlah di atas segala keterlanjuran salah dan silap. Gunakanlah secebis waktu untuk bertadarus, mempelajari cara bacaan ayat-ayatNya, memahami keindahan firmanNya supaya menjadi penyejuk hati yang lara, penawar duka nestapa dan petunjuk dalam kehidupan yang penuh pancaroba. Gunalah peluang yang diberi ini untuk mengukuh hubungan sesama manusia, membina kasih sayang dan ukhuwah sesama kita; yang tua dihormati, yang muda dikasihi sentiasa. Semoga Ramadhan kali ini kita beroleh kejayaan Taqwa sebagaimana difirmankan olehNya.

4. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan dan mengajak agar marilah sama-sama kita menghidupkan Ramadhan ini dengan penuh kualiti. Infakkanlah sedikit harta yang dikurnia Tuhan untuk dikongsi bersama dengan orang lain dengan menyumbang derma atau menaja majlis berbuka puasa, moreh, jamuan bersahur serta aktiviti-aktiviti Ihya’ Ramadhan.

5. Untuk memenuhi matlamat tersebut, pihak masjid menyediakan peluang kepada Dato’/Datin/Tuan/Puan untuk menghulurkan sumbangan derma. Sumbangan boleh diberi dalam bentuk wang ringgit tunai, cek, barangan atau makanan masakan. Sumbangan berbentuk cek hendaklah dialamatkan atas nama MASJID AL-MUHSININ (No Akaun Bank Islam 14-230-100-30794 ) sumbangan boleh juga disampaikan melalui imam masjid atau datang terus ke pejabat masjid untuk berurusan.

6. Sumbangan derma dari Dato’, Tuan /Puan amatlah dihargai dan semoga mendapat ganjaran yang barakah dari Allah S.W.T

Sekian , terima kasih

Saya yang menjalankan tugas,


US HASSAN TERMIZI CHE’ WOOD
Setiausaha merangkap Ketua Imam